Monday, March 14, 2011

Tsunami Jepun: Ilustrasi Lawak Karikatur Berita Harian Jadi Kontroversi

Pagi ni saya terbaca di laman web Berita Harian mengenai permohonan maaf kepada semua pembaca dan  rakyat Jepun khususnya. Pertama sekali dalam fikiran saya mesti mengenai tsunami di Jepun. Bila difikirkan balik perkara-perkara sensitif sebegini tidak sepatutnya terlepas lebih-lebih lagi dari sebuah akhbar yang paling berpengaruh di negara kita ini.

Lebih-lebih lagi, berita seperti ini telah tersebar di seluruh dunia, di dalam CNN iReport bertajuk Malaysian Newspaper Pokes Fun At Recent Tsunami Disasters. Nampaknya ketua pengarang telah tidak senang duduk selepas karikatur ini disiarkan. Laman sosial seperti Facebook sedang hangat memperkatakan mengenai isu ini.

Petikan dari Berita Harian 14 March 2011

MERUJUK kepada ilustrasi mengenai tragedi tsunami di Jepun yang mencetuskan kontroversi dalam Berita Minggu semalam, kami ingin menjelaskan bahawa kami tidak berniat untuk mempersenda atau menunjukkan sikap kurang prihatin terhadap peristiwa yang berlaku Jumaat lalu.

Malah kami juga tidak bertolak ansur dengan sebarang cubaan untuk memburukkan keadaan di negara berkenaan.

Kami mendapat banyak reaksi berhubung ilustrasi itu menerusi laman sosial dan panggilan telefon daripada orang ramai yang prihatin mengenai nasib rakyat Jepun.

Kami sensitif dengan tragedi yang menimpa rakyat Jepun, malah turut melancarkan Tabung Bencana NSTP-Media Prima untuk menggalakkan masyarakat menyumbang bagi meringankan beban mangsa bencana.

Kami turut menghantar wartawan ke tempat kejadian bagi membolehkan mereka melaporkan situasi sebenar tragedi. Kami berasa sedih dengan kesengsaraan rakyat Jepun yang kehilangan keluarga dan harta benda. Pelukis ilustrasi kami turut meminta maaf atas lakaran yang menimbulkan kontroversi.

Kami amat simpati dengan kejadian terbabit dan sekali lagi memohon maaf atas rasa kurang senang yang timbul berikutan penerbitan ilustrasi itu. – PENGARANG

Petikan dari Malaysian Insider

TERKINI @ 06:52:42 PM 13-03-2011
March 13, 2011
KUALA LUMPUR, 13 Mac — Kumpulan Berita Harian memohon maaf ekoran tindakan menyiarkan karikatur mengisahkan kejadian tsunami dan gempa bumi di Jepun dalam edisi Berita Minggu hari ini, yang ramai menganggap ia tidak menghormati keperitan rakyat negara itu.

Dalam mesej yang disiarkan menerusi Facebook petang tadi, pengaragnya berkata: “Berita Harian memohon maaf dengan penyiaran karikatur mengenai kejadian tsunami dan gempa bumi di Jepun dalam akhbar Berita Minggu hari ini.

“Pihak kami tidak berniat langsung untuk mempersendakan bencana yang menimpa negara itu, sebaliknya amat bersimpati dan berkongsi kesedihan dengan rakyat Jepun.”

Karikatur yang disiarkan di halaman 24 menunjukkan superhero Jepun “Ultraman” lari lintang-pukang bagi mengelak ditelan gelombang tsunami.

Jepun dilanda gempa bumi paling buruk dalam 140 tahun kelmarin dan disusuli tsunami. Lebih 1,600 orang sudah disahkan mati dan 10,000 lagi dikhuatiri hilang.

Pengarang Kumpulan Berita Harian Datuk Mior Kamarul Shahid, yang mempunyai kolum peribadi di halaman yang sama, juga memohon maaf menerusi mesej akaun Twitternya sekitar 3 petang tadi.

Beliau antara lain berkata, “(saya) mengelak (hadir) satu lagi majlis kahwin, kena bergegas ke pejabat. Tak boleh telan nasilah. Kami buat satu kesilapan besar. Minta maaf kepada setiap orang.”

Penerbitan karikatur yang dihasilkan oleh “Zoy” mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk pemimpin-pemimpin politik Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat meminta akhbar itu memohon maaf.

Satu lagi mesejnya berbunyi “salam. Berita Harian sudah meminta maaf dan kesal. Mengaku terlepas pandang.”

Pengarah Komunikasi PRK Nik Nazmi Nik Ahmad dalam mesej Twitternya minta mereka yang mengecam penyiaran karikatur itu supaya menandatangani petisyen protes terhadap akhbar tersebut.

Naib Presidennya Nurul Izzah Anwar pula berkata, “isu kartun Berita Minggu amat mendukacitakan, langsung tidak mewakili rakyat Malaysia yang bersama merasai keperitan yang dihadapi rakyat Jepun.”

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pula menulis “malang sekali kartun tsunami itu diterbit di bawah kolum Pengarang Kumpulan (Berita Harian) sendiri.”

Gambar ini saya petik dari laman blog Borakkosong





Ada ka dia letak gambar Otomen tengah lari lintang pukang. Kalau Malaysia agaknyer apa la pulak yang lari ye. Cicakman atau Keluangman kot. 

Bencana sebegini hanyalah sebagai peringatan dariNya. Semoga kita semua sentiasa mengingati akan kebesaranNya. Hari kiamat sudah semakin hampir menjengah kita. Untuk peringatan kepada diri saya dan pembaca-pembaca blog saya sekalian.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...