Wednesday, March 2, 2011

Lawatan Kerja Ke-2 Tun Dr Mahathir Ke Proton Tg Malim

Pada 1 March 2011, satu lagi sejarah untuk semua warga Proton Tg Malim telah dicatitkan di blog saya. Kunjungan kerja Tun Dr Mahathir selaku penasihat Proton untuk melihat sendiri perkembangan Proton Tg Malim.

Saya ingin berkongsi intipati ucapan yang disampaikan oleh Tun pada sessi pertemuan dengan pekerja Proton pada hari tersebut.

Diantaranya Tun berkongsi pengalamannya sewaktu beliau mula-mula mengilhamkan Malaysia untuk mengeluarkan kereta sendiri. Ramai yang menganggap mustahil untuk sebuah negara membangun seperti Malayaia mengeluarkan kereta sendiri dan idea yang tak masuk akal untuk diterima. Tun memang sudah dikenali sebagai pencetus evolusi pembangunan dimana semua idea-idea beliau telahpun terbukti. Banyak lagi contoh-contoh idea beliau seperti Putra Jaya, Litar Lumpa F1 Sepang, KLCC, Le Tour De Langkawi dan banyak lagi. Selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri Malayia, beliau telah banyak membuat perubahan yang amat ketara teruatama dari segi pembangunan.

Sekarang telahpun terbukti yang Malaysia telah mempunyai jenama sendiri iaitu Proton. 26 tahun berdiri teguh dan sedang mengembangkan sayapnya untuk bersaing dengan gergasi automotif lain di dunia.

Di dalam ucapannya, beliau ada menyatakan mengenai strategi Proton dalam menjalinkan usahasama dengan syarikat pengeluar automotif  lain. Kepentingan Proton adalah faktor utama sebelum sebarang keputusan dibuat. Proton adalah hak rakyat Malaysia, kita semestinya tidak mahu Proton berkubur sekiranya tersilap langkah dalam membuat keputusan. Oleh itu Proton akan terus bergerak sendiri dengan sokongan rakyat Malaysia.

Proton adalah pengeluar kereta yang membuat penyelidikan, pembangunan sehinggalah dapat mengeluarkan sebuah model hasil ciptaan anak tempatan kita sendiri. Kita tidak boleh membuat perbandingan dengan negara Thailand dimana mereka mengeksport berjuta kendeaan ke luar negara setiap tahun. Untuk pengetahuan anda Thailand hanya memasang komponen kenderaan sahaja, tetapi Proton membina kereta sendiri. Proton mempunyai kelebihan yang tersendiri, dengan kelebihan inilah Proton akan mengorak langkah untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan gergasi automotif yang lain, insyaallah.

Di dalam ucapan Tun, beberapa kali beliau menyatakan keyakinan bahawa Proton akan terus maju dan akan menjadi salah sebuah pengeluar kenderaan yang terkemuka suatu hari nanti. Kayakinan beliau pada awal penubuhan Proton telahpun terbukti sekarang.

Beliau ada menyentuh mengenai kualiti kereta Proton dahulu dan sekarang. Isu 'power window' adalah salah satu isu yang biasa didengar dan berlaku pada salah satu model Proton. Tetapi Proton telah banyak menjalankan aktiviti penambahbaikan kualiti dan hasilnya kita boleh lihat pada model terbaru Proton sekarang.

"dulu orang dok komplen pasal tingkap tak mau naik, tapi sekarang tingkap dah naik sampai ke bumbung" sebahagian kata-kata Tun yang disambut dengan gelak ketawa semua pekerja.

Pada sessi lawatan Tun, pihak pengurusan telah bermurah hati mempertontonkan model terbaru yang akan dikeluarkan di Proton Tg Malim pada tahun 2012. Tetapi para pekerja diingatkan supaya tidak merakamkan sebarang gambar model tersebut kerana ia masih lagi di dalam proses prototype. Tun sendiri diberi penghormatan menandatangani plug bagi model tersebut.

Penyuntik semangat warga kerja Proton Tg Malim

Memang mengkagumkan model tersebut, mengikut trend terkini dan mempunyai ciri-ciri idaman sebuah kereta yang sekelas dengannya. Model ini direka mengikut spesifikasi pasaran global, dan akan menjadi model terbaik untuk pasaran antarabangsa dan semestinya hadiah untuk rakyat Malaysia.

Akhir sessi ucapannya, Tun mengambil kesempatan untuk bersalaman dengan warga kerja Proton Tg Malim.


Saya amat bangga kerana mempunyai pemimpin macam Tun Dr Mahathir. Semoga Proton akan terus maju.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...