Saturday, March 26, 2011

Permata Yang Tidak Ternilai Harganya

Terbaca artikel mengenai seorang kanak-kanak yang berusia 13 bulan mati lemas di dalam keadaan yang amat menyayatkan hati. Tuhan lebih menyayanginya. Mungkin ada hikmah yang Tuhan ingin tunjukkan kepada kedua ibu bapanya. Hadapilah dugaan ini dengan tabah. Menitis air mata bila terbayangkan bagaimana dia seorang diri terkapai-kapai di halaman rumahnya. Kanak-kanak seusia 13 bulan, apalah yang dia tahu. Hendak memanggil pun dia tidak mampu, inikan pula bertarung nyawa ingin menyelamatkan diri.

Cuma ikhtibar yang boleh kita pelajari dari kejadian ini, ambillah langkah yang lebih berhati-hati dan lebih peka dengan keadaan persekitaran rumah kita. Yang pergi kita sedekahkan Al-Fatihah. Kita yang masih disini dan sentiasa menghirup nikmat Allah, haruslah sentiasa memohon perlindungan dan kesejahteraan dariNya. Semoga seluruh ahli keluarga kita dilindungi dari segala malapetaka dan musibah. Sekiranya kita diuji, bersabarlah, sesungguhnya Dia maha mengetahui.


Kepiluan seorang ibu Norazilawati di tempat anaknya Nur Hasniatul Nabila ditemui terapung
KUALA TERENGGANU: “Apabila tengok anak bongsu tiada di sisi ketika bangun tidur, saya bingkas mencarinya dan hati mula berdebar. Sebaik membuka pintu depan, luluh hati saya apabila nampak dia terapung dalam air dengan sebelah tangannya memegang anak tangga.”
Demikian kata Norazilawati Ibrahim, 30, yang kematian anak bongsunya, Nur Hasniatul Nabila Zaidi, 13 bulan, yang lemas apabila pekarangan rumah mereka di Kampung Raja Baram, Chendering di sini, dinaiki air sedalam kira-kira 0.2 meter, kira-kira jam 8 pagi semalam.

Norazilawati berkata, sebaik melihat anaknya dalam keadaan menyayat hati itu, dia terus mengangkat bayinya dan memanggil suami, namun usaha mereka menyelamatkan anak bongsu daripada dua beradik itu dengan memberi pertolongan cemas tidak berjaya.

“Kebiasaannya saya terjaga daripada tidur dengan dikejutkannya, tapi hari ini (semalam) hari paling malang kerana saya pula yang terkejut apabila mendapati dia tiada di sisi apabila bangun tidur,” katanya.


Menurutnya, mangsa sebelum ini bersikap pelik apabila kelihatan gembira malah selera makannya bertambah selain sempat bergurau dengan bapanya, Zaidi Mamat, 32, seorang nelayan kira-kira jam 10 malam sebelum tidur.

“Malam tadi (kelmarin) dia sempat bermain telefon bimbit bapanya. Biasanya suami menegur tetapi semalam (kelmarin) pelik apabila dia hanya tengok dan tidak cakap apa-apa.

“Sebelum ini, dia seperti tunjuk tanda pelik kerana mesra dengan semua ahli keluarga dan nak bersalam dengan mereka, sedangkan sebelum ini dia agak pemalu,” katanya.

Norazilawati berkata, sebelum kejadian dia bersama anak dan suami tidur di ruang tamu berhampiran pintu depan kerana khuatir air bertambah naik selepas perkarangan rumah mereka dinaiki air akibat hujan lebat sejak petang kelmarin.

Menurutnya, kira-kira jam 2 pagi dia terjaga dan mengalihkan Nur Hasniatul Nabila daripada buaian untuk tidur di sebelahnya sebelum anaknya itu merengek meminta susu kira-kira jam 4 pagi.

“Saya tidak sangka itu kali terakhir melihat wajah anak yang menangis mahukan susu sebelum menemuinya terapung dalam air pagi tadi (semalam),” katanya.

Datuk mangsa, Mamat @ Muhammad Muda, 62, membuat laporan kejadian itu di Balai Polis Chendering dan jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pantai Pandak, Chendering di sini, kira-kira jam 3 petang selepas solat Jumaat, semalam.

Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Asisten Superintendan Khazahari Che Amat ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan berkata kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Petikan dan gambar dari myMetro 26 March 2011

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...