Sunday, February 27, 2011

Harapan Kepada Semua Internet Marketer Malaysia

Nampak gayanya, belum sempat seminggu saya berehat. Saya terpaksa kongsikan artikel ini untuk renungan dan ikhtibar. Saya tak boleh simpan lama-lama, nanti idea hilang untuk menulis.

Pertama sekali saya ingin memohon maaf sekiranya artikel saya ini akan menyentuh hati sesetengah pihak. Tapi inilah hakikat yang perlu ditelan biarpun pahit.

Saya berasa amat bangga kerana di negara kita ini ramai IM yang berjaya dan berkaliber. Ada yang sudah bergelar jutawan pun. Memang seronok menjalankan perniagaan secara online ini jika betul cara kerja dan beretika.

Di dalam perniaggan online ini kita tidak perlu bertemu muka dengan pelanggan kita, tetapi janganlah disebabkan kekurangan atau kelebihan ini, ada di antara kita yang terlepas pandang mengenai etika dalam sesuatu perniagaan.

Kerana adanya pelangganlah kita boleh menjalankan perniagaan ini, tetapi bukan semua pelanggan akan bersikap pasif sekiranya mereka terasa tertipu ataupun maklumbalas mereka tidak dihiraukan oleh pengusaha perniagaan internet.

Jangan terlalu ghairah untuk mengejar keuntungan yang cepat dalam jangkamasa yang singkat. Ye... saya akui ada sesetengah servis yang ditawarkan mempunyai prospek yang besar di masa hadapan, tetapi uruskanlah mengikut kemampuan bukan mengikut nafsu. Bila tempahan sudah terlalu banyak sehinggakan janji kepada pelanggan untuk siapkan dalam jangkamasa tertentu akan jadi tertangguh lama.

Dalam apa jua perniagaan, kepuasan pelanggan adalah ditempat yang teratas. Saya faham sekiranya anda mengalami masalah sila berterus terang dengan pelanggan anda, bukan susah pun. Mungkin pelanggan anda boleh terima, ataupun sebaliknya. Walauapapun itulah kuasa pelanggan. Pelanggan membuat pindahan wang bayaran melalui bank online, pengusaha menerima bayaran. Dan produk perlu disiapkan seperti yang dijanjikan. Jika gagal, tolong feedback kepada pelanggan anda. Itu etika kerja yang betul.

Saya bukannya pandai pun dalam perniagaan internet ini, baru je menjenguk dan mula hendak belajar. Mungkin ada diantara saudara di sini yang telah berjaya walaupun masih muda.

Di dalam kita berurusan dengan pelanggan kita, janji amat penting. Saya telah hampir 10 tahun bergelumang dengan pengurusan projek, menguruskan kehendak pelanggan dan sentiasa terikat dengan jadual yang amat ketat. Etika kerja dan pengurusan masa amat penting. Tenaga kerja perlu cekap dan berdedikasi. Jujur dalam menjalankan tugas akan menentukan masa depan sesuatu projek itu.

Sama juga di dalam perniagaan internet ini, pelanggan adalah Raja. Kita mencari rezeki di bumi Allah ini biarlah dengan cara yang halal. Duit itu juga akan digunakan untuk makan minum anak dan isteri kita. Jangan nak disalahkan orang lain sekiranya anak kita nakal dan susah untuk menerima nasihat. Cuba kita muhasabah diri, dari mana datangnya rezeki yang kita makan dan belanja seharian, adakah dari sumber yang beretika atau sebaliknya.

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua IM yang telah berjaya dan menjalankan perniagaan dengan cara beretika dan jujur. Semoga anda akan menjadi ikon kepada IM yang masih baru. Perniagaan internet mempunyai prospek yang amat besar, kerana tiada sempadan yang boleh menghalangnya, tetapi harus diingat negara kita ada undang-undang bagi penyalahgunaan cyber.

Salam kemaafan sekiranya artikel saya menyentuh hati saudara dan saudari. Yang pahit harus ditelan, yang pahit itulah pengubat.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...