Saturday, April 30, 2011

Mubahalah Atau Sumpah Laknat Menurut Pandangan Ilmuan Islam

Sejak akhir-akhir ini kita disajikan dengan perkataan Mubahalah ataupun Sumpah Laknat. Apa maksudnya? Mungkin ramai diantara kita menganggap sumpah ini perkara biasa. Tetapi sebab dan akibatnya sangat buruk sekiranya individu yang bersumpah laknat berbohong.


Sama-sama kita baca petikan pendapat dari Prof. Madya Dr Mohd Radzi mengenai sumpah laknat atau mubahalah ini.

___________________________________________________________________________________

PROF. MADYA DR. MOHD. RADZI OTHMAN, Pensyarah Jabatan Pengajian Islam (USM).

Kalau kedua-dua yang menuduh dan dituduh bersumpah laknat, apa pula kedudukannya?

DR. MOHD. RADZI: Dalam kes sumpah laknat, kita akan dapat lihat petanda-petanda awal yang boleh membawa kepada kebatilan. Sumber-sumber agama tidak menyebut secara jelas tentang petanda-petanda yang berkenaan kerana perkara seumpama itu jarang berlaku di kalangan kita pengikut Ahli Sunah Wal Jamaah dan ia tidak diperbesar-besarkan.

Bagaimanapun, ulama-ulama Syiah mencatatkan bahawa tidak lama selepas mubahalah berlaku kejadian seperti orang yang berdusta tidak boleh bercakap, cakapnya tidak lancar, tergamam, terjatuh dan bermacam-macam lagi. Sejauh mana kebenarannya tidak pula diketahui.

Apa yang penting ialah pihak berkenaan telah bersumpah dan yang kedua pula menyahut cabaran itu dengan bersumpah, jadi kita tengoklah di antara kedua belah pihak itu apa yang akan berlaku. Ulama Ibn Hajar Al Salam as Qualani pernah berkata, pada pengetahuannya, akibat sumpah akan dapat dilihat tidak lebih daripada satu tahun.

Sumpah laknat atau mubahalah yang dilakukan pada 15 Ogos lalu, apakah balasan-balasan yang boleh berlaku?

DR. MOHD. RADZI: Hanya Allah yang tahu. Antara yang mungkin boleh berlaku seperti kematian secara mengejut atau sakit berpanjangan atau lain-lain. Sumpah biasa sekalipun, kalau tidak benar, ia sudah merupakan satu dosa besar dan orang yang berdusta perlu bertaubat.

Mubahalah tentunya lebih serius kerana ia bermaksud laknat Tuhan iaitu dijauhkan daripada rahmat Tuhan. Jadi bila kita dijauhkan daripada rahmat Tuhan, rahmat siapa lagi yang kita harapkan? Dalam mubahalah, kita dijanjikan dengan balasan laknat. Ia boleh berlaku dalam pelbagai bentuk iaitu laknat Allah, laknat Nabi dan laknat para mukminin. Maknanya sumpah itu meminta pihak yang berkenaan dijauhkan daripada rahmat Tuhan.

Manusia dinaungi rahmat Tuhan dan Tuhan memberikan rahmat kepada sesiapa yang dikehendakinya, tidak kira Islam dan bukan Islam. Dalam sumpah laknat, rahmat itu akan dijauhi daripada orang yang berdusta.

Dalam satu kes mubahalah pada 15 Ogos lalu, timbul persoalan kononnya cara orang yang bersumpah laknat memegang al-Quran macam perbuatan orang Kristian. Apakah haram memegang al-Quran ketika bersumpah?

DR. MOHD. RADZI: Memang dalam kes mubahalah atau sumpah biasa tidak diperlukan memegang al-Quran atau junjung al-Quran ketika bersumpah atau bermubahalah. Akan tetapi jika ada yang berbuat demikian tak adalah boleh disamakan dengan amalan orang Kristian.

Bersumpah atau bermuhabalah mengikut hukum syarak, seseorang yang bersumpah hanya bersumpah dengan nama Allah tidak boleh selain daripada Allah. Begitu juga mubahalah, hanya bersumpah dengan nama Allah dan juga melaknat pihak yang berdusta.

Apakah cara sumpah laknat yang betul?

DR. MOHD. RADZI: Cukup dengan hanya lafaz sumpah Waallahi, Wabillahi dan Watallahi dan ditambah pengakuan ‘Aku melakukan perbuatan atau aku tidak melakukan perbuatan yang dituduh itu’. Itu sudah cukup.
___________________________________________________________________________________

Sumber dari laman blog Prof. Madya Dr. Mohd Radzi dan Utusan Malaysia Online

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...